PORT-AU-PRINCE, 22 Oktober- Sekurang-kurangnya dua wanita, termasuk seorang yang hamil lapan bulan, terbunuh, manakala 5,000 orang lagi dipaksa meninggalkan kediaman mereka apabila kumpulan bersenjata menyerang beberapa kawasan ibu kota Haiti, menurut Agensi Perlindungan Awam negara itu pada Isnin.
Dua wanita tersebut terbunuh dalam serangan oleh beberapa kumpulan yang bernaung di bawah gabungan "Viv Ansanm" (Hidup Bersama) di daerah Solino, selatan Port-au-Prince.
"Mereka dibunuh di dalam rumah mereka sendiri," menurut laporan Agensi Perlindungan Awam, yang turut menggambarkan rumah-rumah dan kenderaan yang dibakar dalam serangan tersebut.
Sejak awal bulan ini, beberapa daerah di Port-au-Prince telah menjadi sasaran oleh kumpulan-kumpulan tersebut, dan serangan masih berterusan di Solino pada petang Isnin.
Kumpulan-kumpulan tersebut juga menyerang sebuah sekolah di kawasan L’Estere, dan mengorbankan seorang ibu bapa dan mencederakan beberapa pelajar sekolah.
Haiti telah lama berdepan dengan keganasan berkumpulan namun pergaduhan semakin meruncing dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan, keselamatan, dan politik yang melanda negara Carribean yang miskin itu.
Pada awal Oktober, serangan berkumpulan di bandar Pont-Sonde mengorbankan sekurang-kurangnya 109 orang dan mencederakan lebih 40 lagi.
Sejak Januari lepas, sekurang-kurangnya 3,661 orang telah terbunuh di Haiti, menurut angka yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB pada akhir September.
Keganasan dan krisis kemanusiaan telah memaksa lebih daripada 700,000 orang, separuh daripadanya kanak-kanak, untuk melarikan diri dari rumah mereka, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).-AFP