JAKARTA, 22 Oktober – Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR) merayu kepada kerajaan Indonesia untuk menyelamatkan sebuah bot yang terkandas di luar pantai barat negara itu, yang membawa lebih 100 pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak.
Menurut UNHCR, bot yang membawa lebih daripada 100 pelarian itu telah berlabuh kira-kira empat batu (enam kilometer) di luar pantai Aceh, wilayah paling barat Indonesia, pada Isnin.
Sebuah bot bantuan telah menariknya ke jarak satu batu dari pantai.
"UNHCR merayu dengan segera kepada pihak berkuasa untuk memastikan penyelamatan di laut dan pendaratan yang selamat bagi kumpulan terdesak ini," kata Faisal Rahman, Pegawai Perlindungan UNHCR di Indonesia.
Beliau turut menegaskan UNHCR sedia memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan golongan rentan itu.
Menurut jurucakap daerah Aceh Selatan, Yuhelmi, pihaknya sedang menunggu ketibaan pegawai imigresen sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai langkah seterusnya.
Indonesia, yang bukan penandatangan konvensyen pelarian PBB, menegaskan mereka tidak boleh dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar dan menyeru jiran-jirannya supaya berkongsi tanggungjawab untuk menempatkan semula pelarian Rohingya yang tiba di pantainya.
Pada Disember 2023, ratusan pelajar memaksa pemindahan lebih 100 pelarian Rohingya, menyerbu sebuah dewan di Aceh yang dijadikan tempat perlindungan.-AFP