PRAGUE, 5 Mei- Gencatan senjata antara Ukraine dan Rusia dalam perang yang berlarutan lebih tiga tahun, boleh dicapai pada bila-bila masa.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menggesa sekutu-sekutu Kiev untuk meningkatkan tekanan ke atas Moscow bagi merealisasikan langkah itu.
Tegas Zelenskyy, tanpa tekanan antarabangsa yang kuat, Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak akan mengambil langkah konkrit untuk menamatkan perang.
“Kami percaya bahawa gencatan senjata boleh berlaku pada bila-bila masa, malah boleh bermula hari ini dan seharusnya berlangsung sekurang-kurangnya 30 hari bagi memberikan ruang sebenar kepada usaha diplomatik,” kata Zelenskyy dalam sidang media bersama Presiden Republik Czech, Petr Pavel, di Prague pada Ahad.
Terdahulu, Presiden Vladimir Putin merancang untuk melaksana gencatan senjata selama tiga hari bermula 8 Mei hingga 10 Mei.
Usaha itu bersempena dengan ulang tahun ke-80 kemenangan Kesatuan Soviet dan sekutunya ke atas Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun, Zelenskyy menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak bermakna dan menyeru agar satu gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan sekurang-kurangnya selama 30 hari, selaras dengan cadangan Amerika Syarikat (AS) yang dikemukakan pada Mac lalu.
Republik Czech merupakan antara penyokong paling kuat Ukraine sejak pencerobohan Rusia pada 2022 dan kini mengetuai inisiatif pembekalan peluru besar kaliber kepada tentera Ukraine.- REUTERS