fb fb fb fb fb

Pesakit dialisis di Gaza bimbang rawatan terhenti akibat krisis bahan api

Hospital Al-Shifa bekalan bahan api untuk tempoh tiga hari sebelum kehabisan tenaga elektrik sepenuhnya/Foto AFP

GAZA, 5 Mei – Pesakit dialisis buah pinggang di Hospital Al-Shifa, Gaza City semakin bimbang apabila krisis kekurangan bahan api di wilayah itu dijangka menyebabkan rawatan mereka terhenti susulan sekatan tentera Israel.

Jurutera Kementerian Kesihatan Gaza berkata, hospital di wilayah terkepung itu hanya mempunyai bekalan bahan api untuk tempoh tiga hari sebelum kehabisan tenaga elektrik sepenuhnya.

Ayman Al-Khudari, penduduk Gaza yang menderita kegagalan buah pinggang, berkata rakyat Gaza sentiasa risau bekalan diesel dan elektrik akan terputus kerana ia boleh mengakibatkan kematian dalam kalangan pesakit dialisis.

“Isteri saya seorang pesakit buah pinggang. Kami selalu dengar berita tentang diesel dan bahan api akan terputus, dan ini amat menakutkan kerana kami tahu jika pesakit buah pinggang berhenti dialisis, ia boleh membawa maut,” kata Mohammad al-Amoudi, seorang lagi penduduk Gaza.

Sementara itu, jurutera dan penolong setiausaha sektor kejuruteraan dan peralatan di Kementerian Kesihatan Gaza, Bassam al-Hamdini, mengesahkan hospital di Gaza kini berada dalam keadaan kritikal.

“Tidak dapat dinafikan bahawa hospital dan fasiliti kesihatan di Gaza kini berdepan krisis sebenar akibat kekurangan diesel untuk menggerakkan janakuasa elektrik, yang penting bagi operasi perubatan seperti pembedahan, rawatan ICU, nurseri bayi, rawatan pesakit buah pinggang, dan juga wad bermalam,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa hospital hanya mempunyai bekalan bahan api untuk kira-kira tiga hari sahaja.

Menurutnya, krisis ini berlaku kerana tentera penjajah Israel menghalang organisasi antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada mengakses tangki diesel yang kini berada di zon merah atau kawasan ketenteraan Israel. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN