KIEV, 14 April – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyeru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump agar melawat Ukraine bagi menyaksikan sendiri kemusnahan akibat pencerobohan Rusia.
Dalam temu bual rancangan 60 Minutes terbitan CBS, Zelensky berkata lawatan tersebut penting supaya Trump memahami realiti sebenar sebelum membuat keputusan atau mencadangkan rundingan.
“Datanglah lihat sendiri rakyat kami – orang awam, pejuang, hospital, gereja, kanak-kanak yang cedera atau terbunuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Trump akan memahami siapa sebenarnya Presiden Rusia, Vladimir Putin, jika menyaksikan sendiri kesan peperangan.
Pelawaan itu dibuat susulan pertelingkahan di White House pada Februari lalu yang melibatkan Trump, JD Vance dan Zelensky, susulan tuduhan Vance bahawa Ukraine menjalankan “lawatan propaganda”.
Zelensky menafikan dakwaan itu dan berkata tiada persiapan khas akan dibuat jika Trump datang.
“Ia bukan pertunjukan. Anda boleh pergi ke mana-mana bandar yang pernah diserang,” ujarnya.
Trump dilaporkan mahu perang ditamatkan segera melalui rundingan langsung AS-Rusia, namun serangan Rusia masih berterusan. Washington dan beberapa negara Eropah kini menimbang langkah gencatan senjata serta penempatan tentera.
Zelensky berkata Ukraine bersetuju dengan cadangan gencatan senjata tanpa syarat oleh AS, namun ia ditolak Moscow.
“Putin tidak boleh dipercayai… Dia tidak mahu perang ini berakhir,” katanya.
Temu bual itu dirakam di Kryvyi Rih, kampung halaman Zelensky yang baru diserang, mengorbankan 18 orang termasuk sembilan kanak-kanak.
Zelensky menyatakan beliau menyimpan “100 peratus kebencian” terhadap Putin, namun tetap berusaha mencari jalan damai.
“Keamanan yang adil bagi kami ialah tidak kehilangan kedaulatan dan kemerdekaan kami,” katanya sambil berikrar akan menuntut semula semua wilayah yang dirampas Rusia.-AFP