GAZA, 14 April – Seorang kanak-kanak terbunuh dan Hospital Al-Ahli di utara Gaza mengalami kerosakan teruk selepas serangan udara Israel pada Ahad, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, bilik kecemasan, makmal, mesin sinar-X dan farmasi musnah, menyebabkan 50 pesakit dipindahkan, manakala 40 lagi yang kritikal tidak dapat dialihkan.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan pusat kawalan Hamas, namun kumpulan itu menafikan dakwaan berkenaan.
Agensi pertahanan awam Gaza menyatakan serangan berlaku hanya beberapa minit selepas amaran pemindahan dikeluarkan oleh tentera Israel.
Dalam serangan berasingan di Deir el-Balah, tujuh orang termasuk enam adik-beradik maut apabila sebuah kenderaan dibedil.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran bahawa operasi tentera akan diperluas sekiranya Hamas tidak membebaskan baki tebusan. Beliau turut menyatakan lebih ramai penduduk Gaza bakal dipindahkan dari zon pertempuran.
Susulan serangan ke atas Hospital Al-Ahli, pesakit dan petugas perubatan terpaksa meninggalkan bangunan dan berlindung di jalanan. Beberapa negara termasuk Qatar dan Arab Saudi mengecam serangan itu sebagai jenayah kemanusiaan.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengkritik Presiden Perancis, Emmanuel Macron kerana menyokong penubuhan negara Palestin, menyifatkan tindakan itu sebagai satu kesilapan besar.
Perang Gaza yang tercetus sejak 7 Oktober 2023 telah meragut lebih 50,000 nyawa rakyat Palestin.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 1,574 kematian sejak gencatan senjata berakhir pada 18 Mac lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel memintas peluru berpandu dari Gaza dan satu lagi dari Yaman yang didakwa dilancarkan oleh pemberontak Huthi yang menyatakan sokongan kepada Palestin.-AFP