DUBAI, 14 April – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan kesediaannya untuk menyokong usaha pemulihan Syria dalam pertemuan rasmi antara Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan pemimpin interim Syria, Ahmed al-Sharaa, semalam.
Pertemuan yang berlangsung di Abu Dhabi itu dilaporkan oleh agensi berita rasmi UAE, WAM, yang memetik kenyataan Presiden UAE menegaskan komitmen negaranya untuk membantu Syria mengharungi cabaran fasa peralihan dan membangunkan semula negara yang dilanda konflik tersebut.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani, yang menggambarkan hasil perbincangan sebagai “satu pencapaian besar”.
Dalam satu hantaran di platform X, Shaibani menekankan kepentingan bidang pelaburan, penyambungan semula trafik udara, serta pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor.
Sejak mengetuai serangan kilat yang berjaya menumbangkan pemerintah lama Bashar al-Assad pada Disember lalu, Sharaa giat mencari sokongan negara-negara Teluk bagi membantu pemulihan negaranya selepas lebih sedekad dilanda perang saudara.
Bagaimanapun, sejurus selepas kejatuhan Assad, Penasihat Presiden UAE, Dr Anwar Gargash menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan Islamis dalam kalangan pemimpin baharu Syria, yang disifatkan sebagai sesuatu yang “membimbangkan” oleh kerajaan UAE.
Pada Januari lalu, Sharaa dilaporkan telah mengadakan perbualan telefon dengan Presiden UAE bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Media rasmi Syria, SANA, memetik perbualan itu sebagai langkah mempererat kerjasama serantau.
“Stabiliti Syria serta keselamatan yang bertambah baik adalah demi kepentingan seluruh rantau,” kata Sheikh Mohamed dalam kenyataannya semalam.
Beliau turut menegaskan UAE “tidak akan berkira dalam memberikan segala bentuk sokongan yang mungkin” kepada Syria dan rakyatnya dalam tempoh mendatang.
Menurut penganalisis serantau, meskipun UAE menyatakan komitmen untuk membantu, negara itu kekal berhati-hati terhadap hala tuju kepimpinan baharu Syria, berikutan ketidakpercayaan terhadap pengaruh politik Islam serta kebimbangan terhadap peranan Turki dalam lanskap politik Syria pasca-konflik.-AFP