fb fb fb fb fb

Wanita sarat mengandung 9 bulan maut dibedil Israel

Hemam al-Rifi memegang dan menunjuk baju milik anak saudaranya yang tidak sempat dilahirkan/Tangkap layar Reuters

GAZA, 4 April 2025 – Seorang penduduk Gaza, Hemam al-Rifi, 40, hanya mampu memegang pakaian bayi milik anak saudaranya yang tidak sempat dilahirkan, selepas serangan udara Israel memusnahkan bangunan Sekolah Dar Al-Arqam di Bandar Gaza, Khamis lalu.

Pakaian itu milik kakaknya yang sedang sarat hamil sembilan bulan dan maut dalam serangan tersebut bersama suami dan ibu mereka.

“Kakak saya sangat teruja menanti kelahiran anak pertamanya. Tapi kini, semuanya hilang sekelip mata,” luah Rifi ketika ditemui Reuters.

Rifi sebelum ini menjadikan sekolah itu sebagai tempat berlindung bersama keluarganya selepas rumah mereka musnah.

Namun serangan terbaharu itu sekali lagi menyebabkan mereka hilang tempat berteduh.

“Saya tak tahu nak bawa anak-anak saya ke mana lagi,” katanya yang kini menjaga enam orang anak.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, serangan ke atas sekolah yang dijadikan pusat perlindungan itu meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Tentera Israel mendakwa bangunan sekolah itu digunakan Hamas sebagai pusat kawalan, namun Hamas menafikan tuduhan tersebut.

Serangan tanpa henti Zionis Israel yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023 terus meragut ribuan nyawa dan menghancurkan sebahagian besar Gaza.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 280,000 penduduk Gaza telah hilang tempat tinggal dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Menurut rekod pihak berkuasa kesihatan Gaza, setakat ini, lebih 50,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh sejak genosid bermula.

GRACE AISYAH KEDAYAN