PHNOM PENH, 13 April – Seorang pekerja kilang Levi's di Kemboja, Nam Leng, 45, bimbang hilang punca pendapatan selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan cukai import baharu ke atas produk dari negara itu.
Nam, yang telah bekerja selama 17 tahun di kilang Haitan HB di Phnom Penh dengan pendapatan sekitar AS$300 (kira-kira RM1,425) sebulan, turut melakukan kerja sambilan di sebuah salun kecantikan bagi menampung kehidupan bersama ibu bapa dan adiknya yang sakit.
Ketika ini, beliau bimbang langkah Presiden AS, Donald Trump untuk mengenakan tarif asas 10 peratus terhadap semua import.
Dan 49 peratus khusus ke atas Kemboja, bakal menjejaskan pelaburan serta operasi kilang tempat beliau bekerja.
"Kalau tiada rundingan untuk kecualikan cukai yang tinggi ini, saya rasa memang susah pelabur nak kekal atau melabur lagi di negara kita. Kilang mungkin tutup dan kami pekerja hilang kerja," katanya kepada Reuters.
"Adik saya sakit, tinggal dengan saya. Kalau saya tiada kerja, tiada pendapatan... saya mati, dia pun mati," katanya sebak.
Bagaimanapun, Trump pada 9 April lalu mengumumkan penangguhan sementara sebahagian besar tarif tersebut.
Susulan itu, Kementerian Perdagangan Kemboja memaklumkan sedang berunding dengan pentadbiran Trump bagi mencari penyelesaian terbaik untuk mengurangkan kesan terhadap ekonomi dan sektor pekerjaan di negara itu. - REUTERS