PORT SUDAN, 13 April – Seramai 56 orang awam terbunuh dalam tempoh dua hari dalam serangan Pasukan Rapid Support Forces (RSF) di bandar Um Kadadah, Sudan, menurut aktivis tempatan.
Serangan yang berlaku pada 11 dan 12 April itu dilaporkan menyasarkan penduduk berdasarkan faktor etnik selepas RSF merampas bandar tersebut daripada tentera Sudan.
Antara mangsa yang terkorban termasuk Pengarah Hospital Um Kadadah, manakala 14 lagi masih dilaporkan hilang.
Menurut Jawatankuasa Penentangan Tempatan, yang merupakan rangkaian sukarelawan menyelaras bantuan di seluruh Sudan, RSF turut memutuskan semua talian komunikasi di kawasan berkenaan selain melakukan pemindahan paksa terhadap penduduk.
Um Kadadah terletak kira-kira 180 kilometer dari El-Fasher, bandar terakhir di wilayah Darfur yang masih berada di bawah kawalan tentera Sudan.
Kawasan itu menjadi sasaran terbaru serangan RSF sejak tentera Sudan berjaya merampas semula ibu negara, Khartoum, bulan lalu.
Laporan itu dikeluarkan sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan lebih 100 orang dikhuatiri terbunuh dalam serangan RSF di El-Fasher dan dua lagi kem pelarian berdekatan yang terjejas akibat kebuluran.
Konflik berlarutan antara tentera Sudan dan Pasukan Rapid Support Forces (RSF) sejak 15 April 2023 bukan sahaja membahagikan Sudan kepada dua bahagian, malah telah meragut puluhan ribu nyawa.
Menurut International Rescue Committee, lebih 12 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka dan mengakibatkan krisis kemanusiaan terbesar pernah direkodkan. - AFP