(Volodymyr Zelensky memberi isyarat semasa dia berucap di perhimpunan melalui pautan video semasa acara di luar mesyuarat tahunan WEF di Davos/AFP)
KIEV, 26 Mei - Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengeluarkan kritikan pedas kepada Barat kerana "tidak melakukan apa-apa" untuk membantu Kiev memenangi perang.
Kenyataan keras itu disuarakan ketika pertempuran sengit berlaku di timur Ukraine dan tentera Rusia semakin hampir mengepung bandar perindustrian utama.
Menyeru bantuan "tanpa had", khususnya penghantaran senjata berat, Zelensky juga mengecam cadangan supaya perdamaian yang dirundingkan turut melibatkan konsesi wilayah.
Di luar bandar Severodonetsk yang kini menjadi tumpuan serangan baharu Moscow di wilayah Donbas, pertempuran adalah "sangat sukar", kata gabenor wilayah Luhansk Sergiy Gaiday.
"Tetapi pusat perindustrian itu masih belum dikepung," katanya dalam video yang disiarkan menerusi Telegram.
Sambil meramalkan minggu yang akan datang bakal menjadi penentu, Gaiday berkata bandar itu berhadapan serangan bertali arus tentera Rusia yang cuba memaksa pasukan keselamatan menyerah kalah.
Terdahulu, Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba memberitahu para hadirin di Forum Ekonomi Dunia di Davos bahawa negaranya amat memerlukan sistem roket pelbagai pelancaran untuk menandingi senjata canggih Rusia dalam pertempuran di Donbas.
(Volodymyr Zelensky dalam video semasa mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos/AFP)
Rayuan itu kemudiannya diulangi Zelensky.
"Kami memerlukan bantuan rakan kongsi kami terutama sekali, senjata untuk Ukraine. Bantuan penuh, tanpa pengecualian, tanpa had, cukup untuk menang," kata Zelensky dalam ucapan hariannya di Kiev. -AFP