fb fb fb fb fb

Pencemaran udara New Delhi cecah tahap berbahaya, penduduk rayu tindakan segera

Pencemaran udara di New Delhi/ REUTERS

NEW DELHI, 7 November - Penduduk di ibu negara India meluahkan kebimbangan terhadap krisis pencemaran udara yang semakin meruncing, yang mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan serius.

Pihak berkuasa juga digesa untuk mengambil tindakan segera selepas kualiti udara merosot ke tahap berbahaya.

"Saya sukar berjalan dan bernafas kerana penglihatan kabur akibat udara yang tebal dengan habuk dan asap.

"Tahap pencemaran kini terlalu tinggi dan pihak berkuasa perlu bertindak segera, seolah-olah dalam keadaan darurat, untuk menanganinya," kata penduduk warga emas Srikrishnan.

Menurut Sistem Ramalan dan Penyelidikan Kualiti Udara serta Cuaca (SAFAR) yang dikendalikan kerajaan India, Indeks Kualiti Udara (AQI) di New Delhi mencatatkan bacaan 312, menjadikan bandar raya itu antara kawasan bandar paling tercemar di dunia.

Setiap tahun menjelang musim sejuk, ibu negara India dan kawasan sekitarnya diselubungi jerebu tebal, apabila udara sejuk dan berat memerangkap habuk pembinaan, asap kenderaan serta pembakaran sisa pertanian.

Keadaan itu menyebabkan ramai daripada 20 juta penduduknya berdepan masalah pernafasan yang berulang saban tahun.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI