fb fb fb fb fb

Google rancang bina pusat data AI di Pulau Krismas?

Pulau Krismas, Australia/ REUTERS

SYDNEY, 7 November - Syarikat teknologi gergasi Google merancang membina pusat data kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Pulau Krismas, wilayah terpencil Australia di Lautan Hindi, selepas menandatangani perjanjian awan (cloud deal) dengan Jabatan Pertahanan Australia awal tahun ini.

Perkara itu diketahui menerusi dokumen yang diperoleh Reuters dan hasil temu bual bersama beberapa pegawai.

Rancangan pembinaan pusat data di pulau kecil yang terletak kira-kira 350 kilometer di selatan Indonesia itu belum pernah dilaporkan sebelum ini, dan butiran seperti saiz projek, kos serta kegunaan sebenar masih dirahsiakan.

Bagaimanapun, pakar pertahanan berpandangan, kemudahan seperti itu bakal menjadi aset strategik penting, memandangkan Pulau Krismas kini dilihat pihak pertahanan Australia sebagai barisan hadapan utama dalam pemantauan aktiviti kapal selam dan tentera laut China di Lautan Hindi.

Menurut pegawai Majlis Perbandaran Pulau Krismas, Google kini berada pada peringkat rundingan akhir untuk menyewa tanah berhampiran lapangan terbang pulau itu bagi tujuan pembinaan pusat data berkenaan.

Ia turut melibatkan perjanjian dengan sebuah syarikat perlombongan tempatan bagi memastikan keperluan tenaga projek tersebut dapat dipenuhi, berdasarkan rekod mesyuarat majlis dan maklumat yang disahkan kepada Reuters.

Dalam pada itu Google, yang dimiliki oleh Alphabet Inc, enggan mengulas mengenai laporan itu, manakala Jabatan Pertahanan Australia turut tidak memberikan sebarang komen.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI