fb fb fb fb fb

Penarafan kelulusan Presiden Korea Selatan naik 63 peratus didorong kejayaan APEC

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung/ REUTERS

SEOUL, 7 November - Penarafan kelulusan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung meningkat kepada 63 peratus minggu ini, menurut satu tinjauan yang dikeluarkan pada Jumaat, didorong oleh penilaian positif terhadap dasar diplomasi dan kejayaan penganjuran mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) baru-baru ini, lapor Agensi Berita Yonhap.

Dalam tinjauan Gallup Korea membabitkan 1,002 responden dewasa yang dijalankan dari Selasa hingga Khamis, penilaian positif terhadap prestasi Lee meningkat sebanyak enam mata peratusan berbanding minggu sebelumnya.

Ini merupakan kali pertama dalam tempoh kira-kira enam minggu tahap kelulusan Lee melepasi paras 60 peratus.

Penilaian negatif terhadap Lee menurun sebanyak empat mata peratusan kepada 29 peratus.

Dalam kalangan responden yang memberikan penilaian positif, 30 peratus menyatakan sebabnya ialah diplomasi, diikuti 13 peratus bagi aspek ekonomi dan 7 peratus untuk Sidang Kemuncak APEC yang diadakan di Gyeongju minggu lalu.

Di luar sidang kemuncak APEC itu, Lee turut mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi, antara lain.

Dalam pertemuannya dengan Trump, kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan penting yang memuktamadkan butiran komitmen pelaburan Seoul berjumlah US$350 bilion sebagai pertukaran bagi kadar tarif AS yang lebih rendah.

Tahap sokongan terhadap Parti Demokrat yang memerintah berada pada paras 40 peratus, menurun satu mata peratusan berbanding minggu sebelumnya, manakala sokongan terhadap parti pembangkang utama, Parti Kuasa Rakyat, kekal pada 26 peratus.

Tinjauan itu mempunyai ralat persampelan lebih atau kurang 3.1 mata peratusan pada tahap keyakinan 95 peratus.- BERNAMA-YONHAP

 

ROSLINA BINTI DIN