BRUSSELS, 7 November - Lapangan Terbang Liege di Belgium terpaksa menghentikan sementara semua penerbangan selepas pihak kawalan trafik udara negara itu menerima laporan kemunculan sebuah dron di ruang udara lapangan terbang berkenaan, awal pagi Jumaat.
Menurut perkhidmatan kawalan trafik udara, Skeyes, kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 6.30 pagi, menyebabkan operasi penerbangan ditangguhkan selama kira-kira 30 minit.
Jurucakap Skeyes, Kurt Verwilligen berkata, setiap laporan berkaitan dron perlu diambil serius bagi menjamin keselamatan penerbangan.
Beliau memaklumkan, operasi penerbangan disambung semula selepas gangguan itu, namun beberapa penerbangan masuk terpaksa dilencongkan manakala pesawat yang dijadual berlepas turut mengalami kelewatan.
Insiden berkenaan merupakan kejadian kedua seumpamanya dilaporkan minggu ini.-REUTERS