BASRA, 7 November - Persiapan bagi Pilihan Raya Parlimen Iraq pada 11 November ini giat dijalankan di wilayah selatan negara itu apabila bandar Basra mula mengagihkan peti undi dan peralatan pilihan raya lain pada Jumaat.
Lori-lori yang membawa peti undi dilihat keluar dari gudang kerajaan dengan kawalan keselamatan ketat, diiringi pasukan keselamatan Iraq menuju ke pusat-pusat mengundi di seluruh wilayah Basra.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Tinggi (IHEC) cawangan Basra, Haider al-Silawi berkata, proses penghantaran melibatkan bahan sensitif dan tidak sensitif dan dijangka mengambil masa tiga hari bagi memastikan semua pusat mengundi lengkap dengan kelengkapan sebelum hari pengundian.
“Sebanyak 522 pusat mengundi akan dibuka bagi pilihan raya umum pada 11 November, manakala 36 pusat lagi disediakan untuk undian khas pada 9 November, melibatkan keseluruhan 3,207 bilik mengundi di seluruh wilayah Basra,” jelasnya.
Pilihan Raya Parlimen Iraq dijadual berlangsung pada 11 November 2025, dengan Perdana Menteri, Mohammed Shia al-Sudani menjangkakan kadar keluar mengundi kali ini lebih tinggi berbanding sekitar 40 peratus pada tahun lalu.-REUTERS