fb fb fb fb fb

Taufan Kalmaegi ragut lima nyawa di Vietnam

FOTO REUTERS

HANOI, 7 November - Sekurang-kurangnya lima orang maut selepas Taufan Kalmaegi melanda kawasan tengah Vietnam pada Khamis malam, menyebabkan kemusnahan besar dan gangguan bekalan di beberapa wilayah.

Tiga mangsa dilaporkan terkorban di wilayah Dak Lak, manakala dua lagi di wilayah bersebelahan, Gia Lai, kedua-duanya terletak di kawasan pedalaman.

Taufan itu turut membawa hujan lebat dan angin kencang ke bandar pesisir Quy Nhon serta kawasan sekitarnya, mengakibatkan pokok tumbang, bumbung tercabut dan tingkap bangunan pecah di beberapa lokasi.

Menurut laporan awal pihak berkuasa tempatan, sebanyak 52 rumah runtuh manakala 2,593 lagi mengalami kerosakan.

Gangguan bekalan elektrik, air dan internet turut dilaporkan di kebanyakan kawasan di Quy Nhon, selain menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Kerajaan Vietnam memaklumkan sekitar 350,000 penduduk daripada 100,000 isi rumah di kawasan pesisir telah dipindahkan ke tempat selamat. Sekolah turut ditutup dan kebanyakan premis perniagaan tidak beroperasi.

Menurut Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar Vietnam, taufan berkenaan mula melemah menjadi ribut tropika awal pagi Jumaat sebelum bertukar kepada tekanan rendah ketika bergerak melintasi selatan Laos.-REUTERS

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE