fb fb fb fb fb

Letupan ketika solat Jumaat di Jakarta, 54 cedera

Kawalan keselamatan di kawasan sekolah berkenaan turut diperketat bagi memastikan keselamatan orang awam dan mengelak sebarang kejadian susulan / REUTERS

JAKARTA, 7 November - Sekurang-kurangnya 54 individu cedera dan dibawa ke hospital selepas berlaku letupan ketika solat Jumaat di sebuah masjid dalam kawasan sekolah menengah awam di Kelapa Gading, Jakarta Utara, hari ini.

Menurut pihak polis, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca letupan yang menyebabkan kecederaan ringan hingga serius, termasuk kes melecur, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri berkata, unit pemusnah bom turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.

Susulan insiden itu, kawalan keselamatan di kawasan sekolah berkenaan turut diperketat bagi memastikan keselamatan orang awam dan mengelak sebarang kejadian susulan.

Rakaman oleh saluran berita tempatan KompasTV dan MetroTV menunjukkan kawasan sekolah tersebut dipasang garisan keselamatan polis dengan beberapa ambulans bersiap siaga.

Imej masjid yang terjejas pula menunjukkan tiada kerosakan besar pada struktur bangunannya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE