HAINAN, 7 November - China terus memperkukuh keupayaan pertahanan maritimnya apabila Presiden Xi Jinping meninjau kapal pengangkut pesawat terbaharu negara itu, Fujian, yang dilengkapi sistem lontaran elektromagnetik pertama buatan tempatan.
Lawatan tersebut berlangsung di pelabuhan tentera laut Sanya, wilayah Hainan, selepas majlis penyerahan panji dan pentauliahan rasmi kapal berkenaan.
Xi, yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, turut menerima taklimat mengenai perkembangan pembinaan kapal pengangkut pesawat dan keupayaan tempur kumpulan pertempuran laut negara itu.
Beliau menekankan kepentingan meningkatkan profesionalisme serta kecekapan operasi dalam kalangan juruterbang dan kru sokongan bagi memperkukuh kesiapsiagaan Fujian sebagai aset strategik armada laut China.
“Ujian penerbangan menuntut keberanian yang luar biasa. Apa yang anda lakukan amat mengagumkan anda semua adalah wira negara,” katanya.
Dilancarkan pada Jun 2022 dan dinamakan sempena wilayah Fujian di timur China, kapal tersebut merupakan kapal pengangkut pesawat ketiga China, menandakan satu lagi pencapaian besar dalam pembangunan teknologi pertahanan negara itu.-REUTERS