BEIJING, 7 November - Eksport China menurun pada Oktober, selepas beberapa bulan aktiviti penghantaran dipercepat bagi mengelak tarif dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan pelabur terhadap kesan ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Petunjuk awal menunjukkan ekonomi China kehilangan momentum bulan lalu apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) rasmi jatuh ke paras terendah dalam tempoh enam bulan.
Data itu turut menunjukkan permintaan global terhadap barangan China semakin berkurangan, dengan pengusaha kilang melaporkan penurunan ketara dalam pesanan eksport baharu.
Ketegangan antara Beijing dan Washington meningkat secara mendadak pada awal Oktober selepas Trump mengancam mengenakan tarif 100 peratus ke atas barangan China sebagai tindak balas terhadap langkah Beijing memperluas sekatan eksport logam nadir bumi.
Bagaimanapun, suasana kembali reda selepas pertemuan antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping, di Korea Selatan minggu lalu, apabila kedua-dua pemimpin bersetuju untuk melanjutkan gencatan perdagangan selama setahun lagi, yang sebelum ini dijadualkan berakhir pada 10 November.-REUTERS