fb fb fb fb fb

Taufan Kalmaegi : Vietnam nilai kerosakan, 188 maut di Filipina

Foto REUTERS

HANOI, 7 November – Kawasan pesisir pantai di Vietnam sedang menilai kerosakan akibat Taufan Kalmaegi yang menyebabkan seorang maut di negara itu, selepas ribut sama turut mengorbankan 188 orang di Filipina.

Taufan berkenaan melanda bahagian tengah Vietnam lewat Khamis, menumbangkan pokok, merosakkan rumah serta menyebabkan gangguan bekalan elektrik, sebelum melemah ketika bergerak ke pedalaman.

Pihak berkuasa memberi amaran mengenai hujan berterusan sehingga 200 milimeter (8 inci) di beberapa wilayah tengah termasuk Thanh Hoa hingga Quang Tri.

Di Filipina, pihak berkuasa melaporkan 135 orang masih hilang dan 96 cedera, ketika angka kematian akibat taufan terus meningkat.

Sementara itu, Vietnam belum mengeluarkan angka rasmi korban, namun Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan satu kematian di wilayah Dak Lak selepas sebuah rumah runtuh.

Gambar dan video yang tular di media sosial menunjukkan bumbung tercabut, rumah dinaiki air, serta jalan dipenuhi pokok tumbang dan serpihan bangunan.

Kerajaan Vietnam memaklumkan lebih 268,000 anggota tentera telah digerakkan bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat, serta memberi amaran mengenai risiko banjir di kawasan rendah yang boleh menjejaskan sektor pertanian di Dataran Tinggi Tengah, kawasan utama penanaman kopi negara itu.

Kalmaegi merupakan taufan ke-13 yang terbentuk di Laut China Selatan tahun ini.

Vietnam dan Filipina dikenal pasti antara negara paling terdedah kepada ribut tropika dan taufan kerana kedudukannya di sepanjang jalur taufan Pasifik, yang sering membawa kemusnahan besar pada setiap musim.

Sementara itu, pihak berkuasa penerbangan awam Filipina meletakkan semua pusat kawalan dan operasi lapangan terbang di bawah amaran berjaga-jaga tinggi, sebagai persediaan menghadapi satu lagi taufan yang dijangka melanda sebahagian negara itu hujung minggu ini.- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN