fb fb fb fb fb

Dua firma Singapura didakwa, eksport barang ke Korea Utara

(PM Singapura, Lee Hsien Loong ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa ke-27
Mengenai Masa Depan Asia di Tokyo/Fail AFP)

SINGAPURA, 26 Mei- Dua firma Singapura didakwa atas kesalahan mengeksport wiski, wain dan minuman lain ke Korea Utara, kes terbaharu melibatkan rakyat negara itu yang mengadakan urusan perniagaan secara haram dengan negara rejim itu.

Pyongyang telah dikenakan sekatan berkali-kali termasuk oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu, susulan tindakan negara itu menjalankan ujian nuklear dan senjata peluru berpandu balistik. Kerajaan Singapura pula telah menggantung hubungan perdagangan dengan Korea Utara sejak 2017.

Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat 123 Holdings didakwa pada Rabu atas kesalahan membekalkan minuman beralkohol sebanyak lima kali ke Korea Utara, menggunakan pengangkutan melalui China antara November 2016 – Julai 2017.

Barangan tersebut termasuk wiski Chivas Regal dan Johnnie Walker Black Label, vodka Smirnoff dan wain dari Australian, Chili serta Perancis – bernilai lebih $720,000 (Singapura).

Syarikat kedua, 123 Duty Free, dikenakan lima pertuduhan atas kesalahan membekalkan minuman bukan alkohol, termasuk kopi dan susu strawberi, ke Korea Utara dari April hingga Ogos 2018.

Kedua-dua syarikat boleh dikenakan hukuman paling berat jika sabit kesalahan.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa syarikat dan individu dari Singapura didakwa kerana membekalkan barangan larangan ke Korea Utara.


(Foto hiasan/AFP)

Pada 2019, mahkamah negara itu mengenakan hukuman penjara hampir tiga tahun terhadap seorang pengarah firma perdagangan kerana membekalkan barangan mewah bernilai AS$4.4 juta, termasuk alkohol dan minyak wangi, ke Korea Utara.

Pada 2016 pula sebuah firma perkapalan Singapura didenda atas penglibatannya dalam cubaan menyeludup senjata era Soviet dan jet tempur dari Cuba ke Korea Utara.

Pada awalnya, syarikat itu didapati bersalah atas dua pertuduhan, tetapi salah satu pertuduhan dibatalkan selepas rayuan dan jumlah denda turut dikurangkan.

Terdahulu, Amerika Syarikat menyatakan akan cuba mengenakan sekatan baharu ke atas Korea Utara di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selepas Kim Jong Un melepaskan tembakan peluru berpandu beberapa jam selepas Presiden Joe Biden manamatkan siri lawatannya ke Asia. 

Susulan itu Majlis Keselamatan PBB dilaporkan akan mengundi pada Khamis berhubung permintaan AS itu berhubung resolusi untuk mengenakan sekatan lebih keras terhadap Korea Utara yang dikatakan turut melepaskan peluru berpandu balistik antara benua. -AFP

Media Baharu