fb fb fb fb fb

China, Brazil perkukuh kerjasama strategik

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva (kanan) bersalaman dengan Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang/ REUTERS

BELEM, 7 November - Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang, pada Rabu mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, dan Ketua Staf Presiden Brazil, Rui Costa, semasa lawatannya ke negara itu.

Ding menegaskan bahawa kerjasama China–Brazil kini menjadi model bagi hubungan antara negara membangun utama.

Menurutnya, Mesyuarat Pleno Keempat Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) ke-20 telah merangka perancangan strategik dan aras tertinggi bagi pembangunan masa depan China, dan negara itu komited untuk memacu pembangunan berkualiti tinggi serta keterbukaan pada tahap lebih tinggi, yang akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk memperkukuh kerjasama praktikal antara China dan Brazil.

China, bersedia bekerjasama rapat dengan Brazil bagi memperkukuh kepercayaan politik dua hala, menyokong antara satu sama lain dalam isu berkepentingan utama, serta menentang dasar unilateral, perlindungan perdagangan dan hegemoni kuasa besar.

Ding turut menegaskan kesediaan China untuk memperkembangkan kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang, serta meningkatkan tahap kerjasama agar mencapai hasil berimpak tinggi dan menjadi contoh kepada negara lain.

Beliau menyeru kedua-dua negara supaya mempertingkat penyelarasan dan kerjasama di platform pelbagai hala, memajukan reformasi tadbir urus global, serta mempertahankan kepentingan negara-negara membangun.

Ding juga menggesa agar kerjasama dalam pembasmian kemiskinan dan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) diperhebat, bagi memberi manfaat lebih besar kepada rakyat kedua-dua negara serta masyarakat dunia.

China turut menghargai usaha Brazil menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Iklim Belem, dan berperanan aktif dalam tadbir urus iklim global. Negara tembok besar itu juga bersedia bekerjasama dengan Brazil untuk memastikan kejayaan sidang kemuncak tersebut serta menyuntik momentum baharu dalam proses pelbagai hala di bidang iklim.

Lula berkata, sejak kedua-dua negara bekerjasama setahun lalu untuk membina komuniti dengan masa depan bersama bagi dunia yang lebih adil dan planet yang lebih lestari, China dan Brazil telah mencapai hasil nyata dalam bidang strategik utama, sekali gus membawa hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Beliau menegaskan bahawa multilateralisme amat penting dalam dunia masa kini, dan Brazil bersedia mengekalkan komunikasi serta penyelarasan rapat dengan China bagi menyumbang ke arah penyelesaian damai pertikaian serantau.

Dalam pertemuan dengan Costa pula, Ding menekankan bahawa China sentiasa melihat hubungan dengan Brazil dari sudut strategik dan jangka panjang, dan bersedia untuk membangunkan komuniti China–Brazil dengan masa depan bersama secara kukuh, sekali gus menjadi rakan yang boleh dipercayai dalam perjalanan menuju pemodenan.

Ding turut menyeru agar kedua-dua pihak menyelaraskan strategi pembangunan masing-masing, memajukan kerjasama dalam bidang utama secara berkesan dan praktikal, serta menyokong pembangunan dan kebangkitan bersama kedua-dua negara.

Menurut Costa, China menghargai peranan kepimpinan Brazil dalam Pasaran Bersama Selatan (Mercosur) dan Komuniti Negara Amerika Latin dan Caribbean (CELAC), dan bersedia bekerjasama dengan Brazil bagi memperkukuh hubungan China dengan Mercosur serta CELAC.

Dalam pada itu Costa menyifatkan rakyat kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat, dan rakyat Brazil menganggap China sebagai rakan yang boleh dipercayai.

Brazil bersedia bekerjasama dengan China untuk melaksanakan konsensus penting yang dicapai kedua-dua ketua negara, mempercepat kerjasama dalam bidang utama dan memperkukuh pertukaran budaya serta hubungan antara rakyat, bagi mengangkat pembinaan komuniti Brazil–China dengan masa depan bersama ke tahap baharu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI