fb fb fb fb fb

Taufan Kalmaegi dedah kelemahan projek kawalan banjir Filipina

Foto AFP

MANILA, 7 November – Keberkesanan projek kawalan banjir Filipina dipersoal selepas Taufan Kalmaegi mengorbankan 114 orang, 127 hilang dan lebih 2.14 juta penduduk terjejas di seluruh negara.

Di Talisay City, Cebu, rumah-rumah musnah dan penduduk kini berteduh di khemah sementara.

Penduduk tempatan kini mempertikaikan sama ada dana kerajaan untuk projek kawalan banjir digunakan dengan berkesan.

Antara tahun 2022 hingga 2025, lebih 400 projek perlindungan banjir bernilai 26 bilion peso (kira-kira AS$441 juta) dilaksanakan di wilayah Cebu yang merupakan pelaburan kedua tertinggi di seluruh negara.

Setiausaha Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya (DPWH), Vince Dizon, yang melawat Talisay City pada Rabu, berkata berkata pihak tertentu perlu bertanggungjawab atas kelemahan sistem kawalan banjir di kawasan itu.

“Perancangan lemah, pelaksanaan lemah dan kita tidak tahu sama ada ada unsur penyelewengan di sini. Itu akan disiasat oleh Suruhanjaya Bebas Infrastruktur (ICI). Tapi yang pasti, mesti ada pihak yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara, lebih 6,700 rumah rosak akibat taufan, manakala hospital, sekolah dan kemudahan awam lain turut mengalami kerosakan besar.

Bekalan elektrik dan komunikasi turut terputus di banyak kawasan, menyebabkan penutupan sekolah dan perniagaan.

Pihak berkuasa telah mengisytiharkan darurat susulan bencana besar itu.

ROSLINA BINTI DIN