DENPASAR, 7 November - Dua banduan dadah warga Britain, termasuk seorang warga emas yang dijatuhi hukuman mati, telah dihantar pulang ke negara itu pada Jumaat, sebagai sebahagian daripada perjanjian pemindahan atas alasan kemanusiaan.
Indonesia terkenal dengan undang-undang dadah paling tegas di dunia, telah membebaskan lebih enam tahanan berprofil tinggi sejak tahun lalu.
Lindsay Sandiford, 69 tahun, dijatuhi hukuman mati di pulau pelancongan Bali pada 2013 selepas disabitkan kesalahan menyeludup dadah.
Beliau dihantar pulang bersama Shahab Shahabadi, 36 tahun, yang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan dadah selepas ditahan pada 2014.
Kedua-duanya berlepas dari Bali menaiki penerbangan Qatar Airways ke London melalui Doha, menurut pegawai Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, I Nyoman Gede Surya Mataram, yang mengesahkan perkara itu.
Mereka sebelum itu dipertontonkan kepada media dalam satu majlis penyerahan di Penjara Kerobokan sehari sebelumnya, dengan Sandiford menutup wajahnya.
"Penahanan mereka akan dipindahkan ke United Kingdom bawah perjanjian dua hala ini.
"Bagi Lindsay dan Shahab, selepas kami menyerahkan mereka kepada kerajaan United Kingdom, pihak Britain akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan undang-undang yang akan dikenakan di sana, namun masih menghormati keputusan undang-undang kami," kata Surya Mataram kepada pemberita.
Masalah kesihatan
Sandiford dipenjarakan selepas pegawai kastam Indonesia menemukan kokain bernilai sekitar AS$2.14 juta tersembunyi di bahagian bawah palsu beg pakaiannya ketika tiba di Bali pada 2012.
Beliau mengaku bersalah tetapi mendakwa bersetuju membawa dadah tersebut selepas sindiket dadah mengugut akan membunuh anaknya.
Pemindahan itu dilakukan selepas Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yusril Ihza Mahendra, menandatangani perjanjian dengan Menteri Luar Britain, Yvette Cooper, bulan lalu untuk memindahkan Sandiford dan Shahabadi.
Kedua-dua banduan berkenaan dilaporkan mengalami masalah kesihatan serius.
Yusril sebelum ini berkata Sandiford berada dalam keadaan 'sakit tenat', manakala Shahabadi 'menghidap pelbagai penyakit serius termasuk masalah kesihatan mental'.
Timbalan Duta Britain ke Indonesia, Matthew Downing, berkata kedua-dua mereka dihantar pulang atas alasan kemanusiaan.
"Apabila mereka tiba di UK, keutamaan adalah mengenai keadaan kesihatan mereka. Mereka akan menjalani penilaian kesihatan, dan menerima rawatan serta pemulihan yang diperlukan," tambahnya.
Kedua-duanya akan tertakluk kepada undang-undang dan prosedur kerajaan United Kingdom sebaik tiba di sana.
Surat selamat tinggal
Kes Sandiford pernah mendapat perhatian media Britain, apabila sebuah akhbar pada 2015 menerbitkan artikel yang mendedahkan ketakutannya terhadap hukuman mati.
"Hukuman mati saya semakin hampir, dan saya tahu saya boleh mati pada bila-bila masa. Saya boleh dibawa keluar dari sel esok untuk dihukum.
"Saya telah mula menulis surat selamat tinggal kepada ahli keluarga," lapor Mail on Sunday.
Setakat Ogos lalu, hampir 600 banduan berada dalam senarai hukuman mati di Indonesia, menurut kumpulan hak asasi KontraS yang memetik data rasmi.
Antara jumlah itu, sekitar 90 daripadanya merupakan warga asing, menurut Kementerian Imigresen dan Pemulihan Indonesia.
Indonesia terakhir kali melaksanakan hukuman mati pada 2016, apabila seorang rakyat tempatan dan tiga banduan dadah warga Nigeria dihukum tembak oleh skuad penembak.
Pentadbiran Presiden Prabowo Subianto telah memulangkan beberapa banduan berprofil tinggi sejak beliau mengambil alih jawatan pada 2024, termasuk lima anggota terakhir kumpulan penyeludupan dadah 'Bali Nine'.
Pada Disember lalu, banduan warga Filipina Mary Jane Veloso menitiskan air mata ketika bertemu semula keluarganya selepas hampir 15 tahun menunggu hukuman mati.
Sementara itu, warga Perancis Serge Atlaoui, 61 tahun, turut dihantar pulang pada Februari selepas 18 tahun berada dalam senarai hukuman mati.- REUTERS