WASHINGTON, 7 November – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis mengumumkan bahawa Pasukan Penstabilan Antarabangsa untuk Gaza (ISF) akan ditempatkan di wilayah berkenaan dalam masa terdekat.
Menurut seorang pegawai AS, Washington akan mengemukakan draf resolusi mengenai pelan damai Trump untuk Gaza kepada 10 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (5 November).
Amerika Syarikat telah merangka satu resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mencadangkan mandat selama dua tahun bagi penubuhan badan tadbir urus peralihan Gaza serta Pasukan Penstabilan Antarabangsa di wilayah Palestin, menurut teks yang dilihat oleh Reuters.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada sebarang pindaan dibuat pada draf berkenaan sebelum ia dikemukakan kepada Majlis Keselamatan PBB. Resolusi itu memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi sokongan tanpa veto daripada lima anggota tetap iaitu Rusia, China, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis untuk diluluskan.
Teks dua halaman itu turut memperincikan bahawa badan tadbir urus sementara Gaza akan diberi kuasa menubuhkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang dibenarkan menggunakan “segala langkah perlu” iaitu istilah diplomatik merujuk kepada penggunaan kekerasan bagi melaksanakan mandatnya.-REUTERS