MOSCOW, 7 November - Rusia pada Khamis memaklumkan bahawa tenteranya meneruskan serangan terhadap pasukan Ukraine yang dikepung di Krasnoarmeysk (dikenali sebagai Pokrovsk di Ukraine) dalam wilayah Donetsk, manakala pihak Ukraine pula mendakwa telah berjaya menangkis serangan Rusia.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, tenteranya telah menawan 64 bangunan di Krasnoarmeysk dalam tempoh 24 jam lalu, menangkis lebih 10 serangan Ukraine serta melancarkan serangan terhadap pelbagai sasaran termasuk kemudahan penyimpanan dan pelancaran dron, kawasan penempatan sementara formasi bersenjata Ukraine, serta kumpulan tentera upahan asing di 149 kawasan berbeza.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara Rusia berjaya memintas dua bom udara berpandu dan menembak jatuh 261 dron sayap tetap dalam tempoh 24 jam, selain memusnahkan kenderaan tempur berperisai, artileri dan depot peluru milik Ukraine.
Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine melaporkan bahawa menjelang 8.00 pagi pada Khamis, pasukan Ukraine telah melancarkan serangan ke atas dua kawasan penumpuan anggota, senjata dan peralatan tentera Rusia, serta berjaya menangkis lebih 100 serangan tentera Rusia di Pokrovsk dan beberapa kawasan lain, di samping memperkukuh unit pertahanan di bandar tersebut.
Ukraine turut memaklumkan bahawa pasukannya telah melancarkan serangan ke atas lokasi penyimpanan, pemasangan dan pelancaran dron di kawasan Lapangan Terbang Donetsk pada Rabu, serta menyerang loji penapisan minyak Volgograd milik Rusia.- REUTERS