YAMAN, 7 November - Beberapa laluan jalan raya penting di Yaman telah dibuka semula baru-baru ini, menandakan kemajuan dalam proses keamanan negara itu yang sekian lama tertangguh, berikutan gencatan senjata di Gaza dan situasi serantau yang semakin reda.
Sejak tercetusnya perang saudara di Yaman pada tahun 2015, banyak bahagian dan jambatan pada laluan utama utara–selatan negara itu musnah akibat pertempuran.
Sekatan tentera turut dilakukan di beberapa laluan yang masih berfungsi, menyebabkan penutupan jalan.
Keadaan itu memaksa rakyat Yaman menggunakan laluan lain dengan melalui kawasan pergunungan dan padang pasir untuk bergerak antara wilayah utara dan selatan negara tersebut.
Laluan yang dibuka semula termasuk jalan utama utara–selatan yang menghubungkan ibu negara Sanaa dan Aden, selain beberapa bahagian yang menghubungkan wilayah Taiz, Dhale dan Hodeidah.
Ramai penduduk menyatakan rasa gembira susulan pembukaan semula jalan itu telah banyak memudahkan perjalanan, sekali gus menjimatkan masa dan kos.
"Sebelum jalan dibuka, bandar ini seolah-olah lumpuh. Selepas dibuka semula, kehidupan mula kembali normal. Aktiviti perniagaan sudah mula berjalan semula, dan urusan perjalanan pedagang serta pesakit antara wilayah kini jauh lebih mudah dan murah. Kehidupan semakin kembali ke landasan asal," kata penduduk Wilayah Dhale, Mohammed Al-Muraisi.
Penganalisis berpendapat, pembukaan semula jalan itu turut merangsang pemulihan ekonomi di wilayah utara dan selatan.
Dalam keadaan krisis kemanusiaan yang masih serius, pembukaan jalan berkenaan juga dijangka memudahkan pengangkutan serta pengedaran bekalan penting ke kawasan terjejas.
Mereka turut menegaskan bahawa pelaksanaan berterusan pelan damai, termasuk pembukaan semula laluan ini, menjadi penanda penting terhadap komitmen semua pihak di Yaman ke arah keamanan.
"Saya melihat pembukaan pelabuhan dan jalan raya sebagai tanda kemajuan sebenar menuju ke arah proses perdamaian. Ia juga didahului dengan penghentian operasi ketenteraan dan peletakan senjata di semua barisan hadapan.
"Semua ini adalah petanda jelas bahawa rakyat Yaman semakin hampir mencapai perjanjian damai — hanya butiran dan masa pelaksanaannya yang masih perlu dimuktamadkan," kata penganalisis politik, Mohammed Shamsan.- REUTERS