fb fb fb fb fb

Penutupan Kerajaan AS, jejas sektor penerbangan

Foto AFP

WASHINGTON, 7 November – Penutupan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) terus menjejaskan sektor penerbangan negara itu apabila ratusan penerbangan di lapangan terbang utama terpaksa dibatalkan pada Jumaat, susulan tekanan terhadap sistem kawalan trafik udara yang semakin kritikal.

Bermula Jumaat, syarikat penerbangan AS akan mengurangkan sehingga 10 peratus penerbangan di 40 kawasan trafik tinggi di seluruh negara, sejajar dengan arahan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) atas faktor keselamatan.

Menurut laman web penerbangan FlightAware, lebih 750 penerbangan pada Jumaat telah dibatalkan lebih awal pada Khamis, sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kekurangan kakitangan.

Sementara itu, American Airlines dalam kenyataannya memaklumkan bahawa jadual penerbangan dikurangkan dengan purata 220 penerbangan dibatalkan setiap hari, manakala Delta Airlines membatalkan kira-kira 170 penerbangan dan Southwest Airlines pula kira-kira 100 penerbangan bagi hari sama.

Penutupan kerajaan telah menyebabkan puluhan ribu pengawal trafik udara, pegawai keselamatan lapangan terbang dan kakitangan agensi persekutuan lain tidak menerima gaji, mengakibatkan kekurangan tenaga kerja dan kelewatan operasi.

Pada Khamis, lebih 6,400 penerbangan di seluruh negara mengalami kelewatan, manakala sekitar 200 penerbangan dibatalkan, dengan penumpang berbaris panjang di pusat pemeriksaan keselamatan.

Lapangan terbang utama seperti Boston dan Newark mencatat kelewatan purata melebihi dua jam, sementara di Chicago O’Hare dan Washington Reagan National, kelewatan mencecah lebih sejam.

Ketua FAA, Bryan Bedford, berkata langkah pengurangan penerbangan diambil bagi mengelakkan insiden keselamatan.

“Kami tidak akan menunggu masalah keselamatan berlaku apabila petunjuk awal menunjukkan perlunya tindakan segera,” katanya.

Langkah itu diumumkan ketika AS bersedia menjelang musim perjalanan paling sibuk menjelang cuti Thanksgiving yang hanya tinggal beberapa minggu.

Menteri Pengangkutan, Sean Duffy, dalam kenyataan di platform X berkata kerajaan mahu meyakinkan orang ramai bahawa penerbangan masih selamat.

“Adalah selamat untuk terbang hari ini, esok dan hari-hari mendatang berikutan tindakan proaktif yang kami ambil,” katanya.

Media tempatan melaporkan, pengurangan penerbangan dijangka bermula pada kadar 4 peratus pada Jumaat dan meningkat kepada 10 peratus dalam tempoh terdekat, melibatkan lapangan terbang utama di Atlanta, Newark, Denver, Chicago, Houston dan Los Angeles.

Penutupan kerajaan AS berlaku selepas Kongres gagal meluluskan belanjawan baharu selepas 30 September, menyebabkan lebih 1.4 juta pekerja persekutuan, termasuk pengawal trafik udara dan renjer taman negara, terpaksa bercuti tanpa gaji atau bekerja tanpa bayaran.-AFP

ROSLINA BINTI DIN