(Sebuah kapal pengawal pantai China (kiri) dan kapal pengawal pantai Filipina (kanan) di Laut China Selatan/AP)
MANILA, 26 Mei - Presiden Filipina yang baru dipilih, Ferdinand Marcos Junior berkata beliau akan mendukung keputusan antarabangsa tentang pertikaian membabitkan Beijing di Laut China Selatan.
Marcos menegaskan, beliau tidak akan membiarkan China menginjak-injak hak maritim Manila.
"Kami mempunyai keputusan mahkamah antarabangsa yang sangat penting memihak kepada kami dan kami akan menggunakannya untuk terus menegaskan hak wilayah kami. Ia bukan tuntutan. Ia sudah menjadi hak wilayah kami," kata Marcos dalam temu bual dengan media tempatan terpilih.
(Ferdinand Marcos Junior menunggu semasa majlis pengisytiharan beliau di Dewan Rakyat, Quezon City, Filipina pada 25 Mei 2022/AP)
Mahkamah Timbang Tara Tetap yang berpangkalan di The Hague pada 2016 telah mengisytiharkan bahawa tuntutan sejarah Beijing terhadap sebahagian besar Laut China Selatan, tidak mempunyai asas.
Presiden terdahulu, Rodrigo Duterte bagaimanapun mengetepikan keputusan itu sebagai pertukaran kepada kerjasama perdagangan dan pelaburan, yang menurut pengkritik tidak menjadi kenyataan.
Dalam komen yang dilihat paling tegas mengenai isu sensitif itu, Marcos berkata beliau tidak akan "membenarkan satu milimeter pun hak pantai maritim kita dipijak.
"Kami bercakap tentang China. Kami bercakap dengan China secara konsisten dengan suara yang tegas," katanya.
Beliau dalam masa sama menjelaskan bahawa Manila tidak bermusuh dengan Beijing.
"Kita tidak boleh berperang dengan mereka. Itulah perkara terakhir yang kita perlukan sekarang," katanya. -AFP