fb fb fb fb fb

Zelenskiy nafi tentera Ukraine dikepung di Kursk, amaran serangan baharu Rusia

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy / Foto Reuters

KIEV, 15 Mac – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menegaskan pasukan tenteranya tidak terkepung di Kursk, Rusia, namun memberi amaran mengenai pengumpulan tentera Rusia yang berpotensi melancarkan serangan baharu ke atas wilayah Sumy di timur laut Ukraine.

Penganalisis ketenteraan menjangkakan Rusia hampir mengusir tentera Ukraine dari kedudukan mereka di wilayah barat Rusia itu, situasi yang mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran bahawa ribuan tentera Ukraine "terkepung sepenuhnya".

Dalam satu kenyataan di media sosial selepas menerima taklimat daripada jeneral tertingginya, Zelenskiy berkata Rusia kini sedang mengukuhkan kehadiran tenteranya bagi melancarkan serangan baharu.

"Ini menunjukkan niat mereka untuk menyerang wilayah Sumy kita," katanya. "Kami menyedari perkara ini dan akan bertindak balas."

Beliau turut menggesa rakan sekutu memahami dengan jelas rancangan Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang menurutnya mahu terus mengabaikan usaha damai.

Sementara itu, Putin pada Khamis menyatakan sokongan secara prinsip terhadap cadangan Trump untuk gencatan senjata selama 30 hari, namun menegaskan pertempuran akan diteruskan sehingga beberapa syarat utama dipenuhi.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, dalam satu mesyuarat bersama kira-kira 25 pemimpin Eropah dan sekutu lain, menyatakan bahawa tekanan terhadap Putin perlu ditingkatkan agar beliau menerima gencatan senjata.

"Pengumpulan tentera Rusia menunjukkan bahawa Moscow masih mahu mengabaikan usaha diplomasi," kata Zelenskiy. "Jelas bahawa Rusia mahu memanjangkan peperangan ini."

Dalam perkembangan lain, Zelenskiy memaklumkan keadaan pertempuran di bandar strategik Pokrovsk telah "stabil".

Ukraine juga berjaya menggunakan peluru berpandu jarak jauh baharu yang dihasilkan dalam negara.

Kiev kini sedang berusaha memperluaskan industri pertahanannya sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada sekutu Barat yang membekalkan artileri, sistem pertahanan udara, serta keupayaan serangan jarak jauh.

Menurut Zelenskiy, peluru berpandu baharu Ukraine, "Long Neptune", mampu mencapai jarak sejauh 1,000 kilometer (621 batu).-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN