SEOUL, 21 April– Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, hadir di mahkamah pada Isnin bagi sesi kedua perbicaraan jenayahnya, bagi membela diri terhadap tuduhan melakukan pemberontakan susulan pengisytiharan darurat tentera sebelum ini.
Yoon secara rasmi dilucutkan jawatan awal bulan ini selepas beliau didakwa dan digantung oleh ahli parlimen susulan cubaan menggugat pemerintahan awam pada 3 Disember yang menyaksikan tentera bersenjata dihantar ke parlimen.
Beliau menjadi ketua negara pertama dalam sejarah Korea Selatan yang ditahan semasa masih memegang jawatan pada Januari lalu berhubung kes jenayah tersebut, kemudian dibebaskan atas alasan prosedur.
Perbicaraan Yoon di mahkamah pada Isnin juga merupakan kali pertama media dibenarkan membuat rakaman sepanjang perbicaraan jenayah itu berlangsung. Beliau dilihat duduk di kerusi tertuduh sebelum prosiding bermula.
Dengan mengenakan sut dan tali leher merah, Yoon kelihatan tenang tanpa sebarang reaksi ketika jurugambar merakam gambarnya di dalam kamar mahkamah.
Dalam perbicaraan pertamanya minggu lalu, Yoon mengambil masa lebih 90 minit untuk membela diri dan menafikan sebarang pembabitan dalam pemberontakan itu.
Sekiranya didapati bersalah, Yoon akan menjadi presiden ketiga Korea Selatan yang disabitkan atas tuduhan pemberontakan, selepas dua pemimpin tentera yang terlibat dalam rampasan kuasa pada tahun 1979.
Tuduhan pemberontakan boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman maksimum – hukuman mati. Namun, hukuman itu dijangka tidak akan dilaksanakan memandangkan Korea Selatan telah melaksanakan moratorium tidak rasmi terhadap hukuman mati sejak 1997.
Dalam perkembangan berasingan, minggu lalu, polis cuba menyerbu bekas pejabat presiden Yoon dan pasukan keselamatannya sebagai sebahagian daripada siasatan, namun gagal selepas pasukan keselamatan presiden enggan memberi kebenaran untuk memasuki kediaman tersebut.
Yoon sebelum ini berlindung di kediamannya selama beberapa minggu dan dilindungi anggota Perkhidmatan Keselamatan Presiden yang masih setia kepadanya.
Pasukan keselamatan beliau dilaporkan memasang kawat berduri dan penghadang di kawasan kediaman, memaksa ratusan anggota polis dan penyiasat menggunakan tangga serta memanjat tembok untuk sampai ke bangunan utama.
Ketika itu, Yoon telah didakwa atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam, dan pihak polis memaklumkan siasatan secara bersemuka masih diperlukan.- AFP