WASHINGTON, 6 November - Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, memberi amaran akan menghentikan semua bentuk bantuan kepada Nigeria dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ketenteraan terhadap negara itu sekiranya kerajaan Nigeria gagal membendung pembunuhan terhadap penganut Kristian.
Amaran itu dibuat susulan keputusan Washington minggu lalu yang menyenaraikan semula Nigeria sebagai negara yang melanggar kebebasan beragama.
Trump turut memaklumkan telah mengarahkan Jabatan Pertahanan AS bersiap sedia untuk tindakan ketenteraan pantas sekiranya tiada langkah tegas diambil oleh Nigeria.
Langkah tersebut menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, dengan kerajaan Nigeria menolak dakwaan Amerika Syarikat bahawa ia melanggar kebebasan beragama, sambil menyifatkannya sebagai berpunca daripada maklumat tidak tepat.
Ketua Turus Pertahanan Nigeria, Jeneral Olufemi Oluyede, menegaskan negaranya berdepan ancaman keganasan, bukannya penganiayaan terhadap penganut Kristian. Pihak presiden pula menyatakan kesediaan menerima bantuan AS memerangi militan Islam, asalkan kedaulatan wilayah Nigeria dihormati.
Menteri Penerangan, Mohammed Idris, menambah keganasan di Nigeria menjejaskan penganut kedua-dua agama utama; Islam dan Kristian serta menegaskan kerajaan komited menamatkan keganasan ekstremis melalui tindakan ketenteraan, kerjasama serantau dan dialog antarabangsa.
Nigeria, yang dihuni lebih 200 kumpulan etnik dengan kepelbagaian agama termasuk Islam, Kristian dan kepercayaan tradisional, memiliki sejarah hidup bersama secara aman namun sering berdepan ketegangan antara etnik dan perebutan sumber.-REUTERS