WASHINGTON, 6 November - Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy, mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 10 peratus penerbangan di 40 lapangan terbang utama mulai Jumaat sekiranya tiada persetujuan dicapai bagi menamatkan penutupan kerajaan persekutuan yang kini memasuki hari ke-36, terpanjang dalam sejarah negara itu.
Penutupan kerajaan tersebut memaksa seramai 13,000 pengawal trafik udara dan 50,000 ejen Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) bekerja tanpa gaji, menyebabkan kekurangan tenaga kerja, kelewatan penerbangan serta barisan panjang di pusat pemeriksaan keselamatan lapangan terbang.
“Kami perlu menilai semula apa tanggungjawab sebenar kami,” kata Duffy kepada media, menjelaskan keputusan yang dibuatnya.
Walaupun senarai 40 lapangan terbang terlibat belum didedahkan, pengurangan dijangka memberi kesan kepada 30 lapangan terbang tersibuk termasuk di New York City, Washington D.C., Chicago, Atlanta, Los Angeles dan Dallas. Menurut firma analisis penerbangan Cirium, langkah itu dijangka menjejaskan sehingga 1,800 penerbangan dan lebih 268,000 tempat duduk penumpang.
Tindakan tersebut bertujuan mengurangkan tekanan terhadap pengawal trafik udara.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dijadualkan mengadakan sesi taklimat bersama syarikat penerbangan pada Rabu malam bagi menjelaskan pelaksanaan pengurangan itu.
Penutupan kerajaan berlarutan susulan kebuntuan antara Parti Republikan dan Demokrat di Kongres berhubung rang undang-undang perbelanjaan.
Demokrat menuntut peluasan subsidi insurans kesihatan manakala Republikan menolak cadangan itu. Situasi tersebut telah menjejaskan jutaan rakyat, termasuk 750,000 kakitangan kerajaan yang diberhentikan sementara serta golongan berpendapatan rendah yang kehilangan bantuan makanan.-REUTERS