WASHINGTON, 21 April – Syarikat penghantaran global, DHL, akan menangguh sementara penghantaran bungkusan bernilai melebihi AS$800 daripada perniagaan kepada pengguna di Amerika Syarikat (AS) bermula Isnin, susulan kelewatan dalam proses pelepasan kastam di negara itu.
"Disebabkan kemas kini peraturan terbaharu Kastam Amerika Syarikat, kami sedang mengalami kelewatan transit selama beberapa hari untuk penghantaran ke AS dari mana-mana negara asal, sekiranya nilai kastam yang diisytiharkan melebihi AS$800," menurut DHL dalam satu kenyataan.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, telah melancarkan perang perdagangan secara meluas sejak mengambil alih pentadbiran, dengan mengenakan tarif tinggi terhadap negara sahabat mahupun seteru, sebagai usaha menangani defisit perdagangan negara itu.
Sebagai sebahagian daripada perubahan tersebut, kerajaan turut menurunkan ambang nilai bagi bungkusan yang dihantar kepada individu yang memerlukan pemprosesan kemasukan rasmi oleh Kastam AS – daripada AS$2,500 kepada AS$800, berkuat kuasa 5 April.
"Perubahan ini menyebabkan lonjakan dalam jumlah pemprosesan pelepasan kastam rasmi, yang kini sedang kami tangani tanpa henti," tambah DHL.
Syarikat itu menjelaskan bahawa penghantaran antara perniagaan tidak akan terjejas oleh penggantungan tersebut, walaupun ia mungkin turut mengalami kelewatan.
Kerajaan pimpinan Trump juga memberi fokus khusus terhadap China, apabila Washington menamatkan pengecualian cukai untuk bungkusan kecil dari negara itu awal bulan ini – langkah yang dilihat menyasarkan peruncit dalam talian berharga rendah seperti Temu dan Shein.- AFP