fb fb fb fb fb

AS ugut tarik sokongan terhadap misi keamanan PBB di Abyei

FOTO AFP

NEW YORK, 6 November - Amerika Syarikat mengugut untuk menarik balik sokongannya terhadap pembaharuan mandat misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Abyei, wilayah yang dipertikaikan antara Sudan dan Sudan Selatan sekiranya kedua-dua negara gagal melaksanakan perjanjian damai 2011.

Ketika mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada Rabu, Duta AS, Mike Waltz menegaskan Washington hanya akan menyokong lanjutan mandat United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA), yang bakal tamat pada 15 November, jika kedua-dua pihak mematuhi komitmen di bawah perjanjian itu.

“Sudan dan Sudan Selatan mesti melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap perjanjian damai 2011 serta mandat UNISFA bagi memastikan sokongan AS terhadap pembaharuan ini,” katanya.

Menurut Waltz, antara syarat utama ialah memastikan Abyei kekal sebagai zon bebas tentera, menubuhkan pentadbiran dan pasukan keselamatan sementara termasuk polis bersama, serta menentukan status akhir wilayah berkenaan.

Status Abyei kekal tidak selesai sejak Sudan Selatan merdeka pada 2011, dengan pertempuran kerap tercetus di kawasan sempadan yang kaya minyak itu.

Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan kedua-dua negara menunjukkan kemajuan segera dan nyata akan menyebabkan AS menilai semula sokongannya terhadap mandat UNISFA.

AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump kini lebih kritikal terhadap operasi PBB, termasuk mengurangkan sumbangan kepada bajet pengaman dan menggunakan kuasa veto untuk mengehadkan beberapa misi PBB lain.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE