fb fb fb fb fb

Tiga banduan ditahan selepas pembunuh kanak-kanak ditemukan mati dalam sel penjara UK

FOTO HIASAN

LONDON, 6 November - Tiga banduan ditahan kerana disyaki membunuh selepas seorang pembunuh kanak-kanak ditemukan mati di dalam selnya di sebuah penjara di utara England, lapor PA Media/dpa.

Perkhidmatan Penjara mengesahkan lelaki itu ialah Kyle Bevan, 33 tahun, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh anak perempuan teman wanitanya yang berusia dua tahun, Lola James, di Haverfordwest, Pembrokeshire pada 2020.

Bevan diperintah menjalani hukuman sekurang-kurangnya 28 tahun di penjara atas jenayah kejam itu selepas menyebabkan kecederaan parah di kepala mangsa dalam serangan selama enam jam.

Menurut Polis West Yorkshire, pegawai dipanggil ke Penjara Diraja Kategori A Wakefield (HMP Wakefield) pada 8.25 pagi Rabu selepas menerima laporan seorang lelaki ditemukan mati di dalam selnya.

Kategori A ialah tahap keselamatan tertinggi dalam sistem penjara United Kingdom.

Pihak polis berkata kematian itu sedang disiasat sebagai “mencurigakan”, dan siasatan masih dijalankan.

“Tiga lelaki, kesemuanya banduan, telah ditahan kerana disyaki membunuh,” menurut kenyataan pihak polis.

Insiden itu berlaku kurang sebulan selepas penyanyi pedofil Ian Watkins ditikam hingga mati di penjara yang sama.

Kecederaan yang dialami Lola James begitu serius sehingga doktor menyamakannya dengan kecederaan akibat kemalangan jalan raya pada kelajuan tinggi, dengan 101 calar dan lebam pada tubuh kecilnya serta bukti penggunaan senjata.

Kematian kanak-kanak itu berlaku beberapa bulan selepas Bevan, seorang penagih dadah tegar, berpindah ke rumah berkenaan beberapa hari selepas berkenalan dengan ibu Lola, Sinead James, melalui Facebook.

Bevan, dari Aberystwyth, Ceredigion, menafikan membunuh Lola tetapi disabitkan kesalahan pada 2023.

Jurucakap Perkhidmatan Penjara berkata: “Kematian banduan HMP Wakefield, Kyle Bevan, disahkan pada 5 November.

“Kami tidak dapat mengulas lanjut sementara siasatan polis dijalankan.”

Bekas vokalis kumpulan Lostprophets, Watkins, 48 tahun, meninggal dunia akibat tikaman di leher di penjara berkenaan, menurut siasatan awal.

Dua banduan lain, Rashid Gedel, 25, dan Samuel Dodsworth, 43, telah didakwa atas tuduhan membunuhnya.

Dua lagi lelaki dari penjara sama turut ditahan kerana disyaki berkonspirasi untuk membunuh.- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE