MOSCOW, 6 November - Moscow akan mengambil tindakan sebagai tindak balas terhadap sebarang ujian nuklear yang dijalankan oleh negara lain, kata Presiden Rusia Vladimir Putin pada Rabu, lapor Xinhua.
“Dalam ucapan saya kepada kedua-dua dewan parlimen pada 2023, saya menyatakan bahawa jika Amerika Syarikat (AS) atau mana-mana negara lain yang menjadi pihak kepada perjanjian berkaitan menjalankan ujian sedemikian, Rusia akan mengambil langkah balas yang sepadan,” kata Putin pada mesyuarat Majlis Keselamatan Rusia.
Beliau mengarahkan Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Rusia serta jabatan berkaitan yang lain agar mengemukakan cadangan mengenai kemungkinan untuk membuat persediaan bagi ujian senjata nuklear.
Putin berkata Rusia sentiasa mematuhi kewajipannya di bawah Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Menyeluruh (CTBT) dan akan terus patuh melainkan negara lain mula menjalankan ujian nuklear.
Sebelum ini, Presiden AS Donald Trump mengarahkan ujian senjata nuklear disambung semula dengan mendakwa negara lain turut menjalankan ujian yang serupa.- BERNAMA-XINHUA