fb fb fb fb fb

El Salvador tawar tukar tahanan dengan Venezuela

Penunjuk perasaan memegang sepanduk sambil berarak menuju ke White House dalam perhimpunan "Bebaskan Kilmar Abrego" dan protes nasional "Jangan Campur Tangan!" menentang dasar serta tindakan eksekutif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Washington, DC. /Foto AFP

SAN SALVADOR, 21 April-Presiden El Salvador, Nayib Bukele, pada Ahad menawarkan pertukaran 252 warga Venezuela yang dihantar pulang ke oleh Amerika Syarikat dengan bilangan tahanan politik yang ditahan oleh rejim Presiden Nicolas Maduro di Venezuela.

Tawaran tersebut dibuat selepas kritikan keras oleh Presiden Donald Trump terhadap hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang mengarahkan pemberhentian sementara pengusiran melibatkan warga Venezuela yang dilakukan oleh pentadbiran Trump di bawah satu undang-undang perang yang jarang digunakan.

“Saya ingin mencadangkan satu perjanjian kemanusiaan bagi pemulangan 100 peratus daripada 252 warga Venezuela yang telah dihantar pulang,” tulis Bukele kepada Maduro di platform X.

Tahanan politik yang dituntut akan dibebaskan “sebagai pertukaran kepada pembebasan dan penyerahan jumlah yang sama daripada ribuan tahanan politik yang anda tahan,” tambahnya.

Pemimpin El Salvador itu, yang baru-baru ini menjadi tetamu di White House, menyatakan bahawa “semua warga Venezuela yang berada dalam tahanan telah ditahan sebagai sebahagian daripada operasi terhadap kumpulan-kumpulan jenayah seperti Tren de Aragua di Amerika Syarikat.”

Dalam tempoh lebih sebulan, seramai 288 migran yang dituduh oleh pentadbiran Trump sebagai ahli kumpulan jenayah termasuk Tren de Aragua kini diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh Washington telah dihantar ke El Salvador.

Amerika Syarikat dilaporkan membayar kerajaan Bukele untuk memenjarakan mereka di penjara terkenal CECOT di luar ibu negara San Salvador.

Bukele turut mendakwa bahawa ramai warga Venezuela yang kini berada dalam tahanan di negaranya “telah melakukan pelbagai jenayah seperti pembunuhan, rogol, dan pernah ditangkap beberapa kali sebelum dihantar pulang.

Bukele turut menyatakan hasrat untuk membebaskan beberapa individu Venezuela terkenal seperti Rafael Tudares, menantu kepada pencabar pilihan raya presiden Maduro 2024, Edmundo Gonzalez Urrutia; wartawan Roland Carreno; peguam aktivis Rocio San Miguel; serta pembangkang yang telah bersembunyi lebih setahun di kedutaan Argentina di Caracas.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD