BEIJING, 21 April- China menyatakan bahawa negara tembok besar itu 'menentang sekeras-kerasnya' tindakan mana-mana negara yang menjalinkan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) yang dilihat sebagai usaha untuk menjejaskan kepentingan Beijing.
Walaupun seluruh dunia telah dikenakan tarif 10 peratus, China dikenakan levi hingga 145 peratus ke atas banyak produk namun Beijing bertindak balas dengan duti sebanyak 125 peratus ke atas barangan AS.
Beijing menganggap tindakan itu sebagai amaran bahawa dan tindak balas terhadap AS.
Ketika ini, beberapa negara dalam usaha melakukan rundingan dengan Washington untuk menurunkan kadar tarif tersebut, di tengah-tengah perang perdagangan penuh antara Amerika Syarikat dan pesaing ekonomi utamanya, China.
Dalam pada itu Beijing memberi amaran kepada negara-negara lain agar tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan Amerika Syarikat yang boleh menjejaskan kepentingannya.
"Dasar berdamai tidak akan membawa keamanan, dan sikap berkompromi tidak akan dihormati, malah ia dilihat hanya akan memberi kesan menyeluruh kepada semua pihak.
“Mengejar kepentingan diri sendiri secara sementara dengan mengorbankan kepentingan pihak lain adalah seperti mencari kulit harimau," kata jurucakap Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan.
“China menentang sekeras-kerasnya sebarang pihak yang mencapai perjanjian dengan mengorbankan kepentingan China.
“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, China tidak akan menerimanya dan akan mengambil langkah balas secara tegas," tambahnya.- AFP