fb fb fb fb fb

Seorang lelaki ditahan kerana dakwaan raba, cium Presiden Mexico

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum/AFP

BANDARAYA MEXICO, 5 November- Seorang lelaki telah ditahan kerana didakwa meraba dan cuba mencium Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, ketika beliau sedang menyambut penyokong di ibu negara.

Insiden itu berlaku pada Selasa ketika Sheinbaum sedang berjalan menuju ke sebuah acara berhampiran istana presiden, sambil bersalaman dan bergambar dengan orang ramai, seperti yang ditunjukkan dalam video media sosial.

Lelaki tersebut menghampiri Sheinbaum, meletakkan lengannya di bahu beliau dan menggunakan tangan yang sebelah lagi untuk menyentuh pinggul serta dada Presiden, sambil cuba mencium lehernya.

Seorang anggota keselamatan presiden segera menarik lelaki itu, yang kelihatan berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Walaupun berkelakuan sedemikian, Sheinbaum melayan lelaki itu dengan sopan bersetuju untuk bergambar dengannya dan kemudian menepuk belakangnya.

Pihak berkuasa keselamatan kemudian melaporkan bahawa lelaki itu telah ditahan.

Menteri Wanita Mexico, Citlali Hernandez turut mengulas mengenai insiden tersebut dalam catatan di platform X, mengutuk perbuatan yang dialami oleh Presiden itu, sambil mengecam normalisasi pencerobohan terhadap ruang peribadi dan tubuh wanita yang tidak diundang.

Menurut data daripada UN Women, kira-kira 70 peratus wanita Mexico berumur 15 tahun ke atas mengalami sekurang-kurangnya satu insiden gangguan seksual dalam hidup mereka. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM