WASHINGTON, 6 November - Majoriti hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat mempersoalkan kesahihan undang-undang di sebalik pelaksanaan tarif besar-besaran oleh Presiden Donald Trump, dalam satu kes penting yang berpotensi menentukan masa depan dasar ekonomi beliau.
Sekali gus menimbulkan persoalan mengenai had kuasa eksekutif beliau.
Kes penting itu melibatkan berbilion dolar hasil kastam dan menjadi ujian terhadap perang perdagangan Trump, termasuk tarif timbal balik ke atas hampir semua rakan dagang AS serta levi terhadap Mexico, Kanada dan China.
"Undang-undang yang digunakan Trump, Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), tidak menyebut perkataan ‘tarif." kata Ketua Hakim John Roberts.
Beberapa hakim turut menegaskan kuasa mengenakan cukai adalah hak eksklusif Kongres, bukan presiden.
Peguam Neal Katyal, mewakili perniagaan kecil yang mencabar dasar itu, menyifatkan dakwaan bahawa Kongres memberi presiden kuasa mengubah keseluruhan sistem tarif sebagai “tidak munasabah.”
Sejak kembali ke White House, Trump menaikkan kadar tarif ke tahap tertinggi sejak 1930-an.
Mahkamah rendah sebelum ini mendapati beliau melampaui bidang kuasanya, mendorong kes ini dibawa ke Mahkamah Agung.
Penganalisis menjangka keputusan kes ini akan mengambil masa beberapa bulan, namun hasilnya boleh mengubah keseimbangan kuasa antara Kongres dan Presiden, serta memberi kesan besar terhadap ekonomi dan perdagangan global.- AFP