PARIS, 6 November - Negara-negara tropika seperti Cameroon dan Colombia berpotensi memperoleh puluhan juta dolar setiap tahun menerusi dana baharu pemuliharaan hutan yang dilancarkan di sidang kemuncak COP30 di Brazil.
Dana yang dinamakan Tropical Forests Forever Facility (TFFF) itu disokong oleh Brazil, yang menyasarkan kutipan US$125 bilion daripada kerajaan dan pelabur swasta bagi memberi bayaran tahunan kepada negara membangun yang mengekalkan kawasan hutan mereka.
Menurut kerajaan Brazil, inisiatif ini bertujuan menamatkan insentif ekonomi untuk penebangan hutan dengan menawarkan sumber pendapatan tetap kepada negara tropika.
Ia berbeza daripada pasaran karbon kerana hasil pelaburan akan diagihkan kepada negara dengan kadar penebangan rendah disahkan melalui imej satelit.
Brazil menjangkakan skim ini mampu menjana US$4 bilion setahun untuk pemuliharaan, namun hanya negara dengan kadar penebangan di bawah 0.5 peratus setahun layak menerima bayaran.
Antara negara berpotensi menerima manfaat besar ialah Brazil, Indonesia dan Republik Demokratik Congo.
Setakat ini, Brazil menjadi satu-satunya negara yang telah menyumbang dana permulaan sebanyak US$1 bilion, manakala beberapa negara lain masih menilai komitmen mereka.
Britain pula menarik diri daripada sumbangan terus kerana kekangan kewangan.
Walaupun berdepan cabaran dan keraguan pelabur, pemerhati menyifatkan TFFF sebagai langkah penting ke arah pembiayaan jangka panjang untuk melindungi hutan hujan dunia.-AFP