NEW YORK, 6 November - Datuk Bandar baharu New York, Zohran Mamdani, memperkenalkan pasukan peralihannya dalam satu majlis di hadapan Unisphere di Queens pada Rabu, dengan komitmen membentuk pentadbiran yang berkeupayaan dan berperikemanusiaan.
Beliau menamakan Elana Leopold sebagai Pengarah Eksekutif Peralihan, bersama empat pengerusi bersama; bekas Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC), Lina Khan; bekas Timbalan Datuk Bandar Pertama, Maria Torres-Springer; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif United Way of New York City, Grace Bonilla; serta bekas Timbalan Datuk Bandar bagi Kesihatan dan Perkhidmatan Sosial, Melanie Hartzog.
Menurut Mamdani, pasukan itu akan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah lama dengan penyelesaian baharu.
Beliau turut mengulangi keutamaan kempennya untuk menangani krisis kemampuan hidup di bandar raya itu serta membina semula kepercayaan awam.
“Hari pertama saya di Dewan Bandaraya akan sama seperti hari terakhir, memberi tumpuan kepada krisis kos sara hidup,” katanya.
Mamdani turut mengesahkan hasrat mengekalkan Pesuruhjaya Polis New York City, Jessica Tisch, selain menegaskan soal kebertanggungjawaban dalam pentadbiran.
Sebagai Datuk Bandar pertama berketurunan Asia Selatan dan beragama Islam dalam sejarah bandar raya itu, Mamdani berkata beliau belum menerima sebarang maklum balas daripada Presiden Donald Trump tetapi terbuka untuk berbincang demi kepentingan rakyat New York.
Beliau menyifatkan kemenangannya sebagai “era baharu” yang berpaksikan kejelasan, ketegasan dan prinsip tetap.-REUTERS