NEW YORK, 6 November - Penduduk East Harlem menyuarakan keyakinan Datuk Bandar baharu New York, Zohran Mamdani, akan memberi keutamaan kepada golongan pekerja berbanding golongan penderma kaya, susulan kemenangannya dalam pilihan raya Datuk Bandar bandar raya itu.
Albert Perez, seorang aktivis komuniti yang menguruskan agihan makanan di kawasan perumahan mampu milik, berkata beliau berharap pentadbiran baharu akan membawa perubahan dalam cara Parti Demokrat berurusan dengan rakyat.
“Selama bertahun-tahun, undi kami seolah-olah diambil mudah. Mereka dapatkan undi kami tetapi tunduk kepada golongan penderma. Kini sudah tiba masanya mereka berkongsi kekayaan yang lama dipegang, dan mengiktiraf golongan pekerja kerana Mamdani benar-benar berpihak kepada mereka,” katanya.
Mamdani menumpukan kempen pilihan rayanya kepada isu kemampuan hidup, termasuk cadangan pembekuan kadar sewa bagi pangsapuri terkawal, perkhidmatan bas percuma, penjagaan kanak-kanak universal serta pasar raya dikendalikan oleh bandar.
Sementara itu, pemilik kedai di East Harlem, Ramzi Shahbain, berharap Mamdani akan memperjuangkan nasib perniagaan kecil sepertinya.
“Golongan miskin semakin tertekan, manakala yang kaya makin bertambah kaya. Perniagaan kecil pula sering rugi setiap hujung bulan,” katanya.