SANTIAGO, 21 April- Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah tapak pembinaan empangan hidroelektrik milik syarikat China di Chile pada Ahad, sebelum membakar puluhan lori serta jentera berat, menurut pihak polis.
Empangan Rucalhue yang sedang dibina oleh Rucalhue Energia Spa, anak syarikat kepada China International Water and Electric Corporation (CWE) dianggarkan menelan kos sekitar AS$350 juta.
Projek itu terletak di sepanjang Sungai Biobio, salah satu sungai utama di Chile, dan mendapat tentangan daripada komuniti Orang Asli yang mendakwa pembinaannya akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar.
Menurut Ketua Polis Renzo Miccono, pengawal keselamatan di tapak tersebut memaklumkan bahawa penyerang bersenjata telah mengugut mereka sebelum membakar kesemua peralatan yang ada di lokasi.
Sebanyak 45 buah lori dan lima jentera berat dilaporkan musnah. Dua pengawal keselamatan turut cedera dalam insiden yang berlaku kira-kira 550 kilometer di selatan ibu negara, Santiago.
Menteri Keselamatan Chile, Luis Cordero berkata kepada media tempatan bahawa berdasarkan lokasi dan cara serangan dilakukan, insiden itu mempunyai ciri-ciri “berunsur keganasan.”
Syarikat Rucalhue Energia Spa memaklumkan bahawa anggaran kerugian masih dalam proses penilaian.-AFP