fb fb fb fb fb

YDP Agong, Permaisuri berangkat pulang ke tanah air

ISTANBUL, 22 Ogos- Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat pulang ke tanah air pada pukul 4.15 petang waktu tempatan hari ini selepas selesai melakukan Lawatan Negara di Turkiye selama lapan hari.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Ainah Maimunah Iskandariah di Terminal Lapangan Terbang Antarbangsa Istanbul disambut Timbalan Menteri Luar Turkiye, Sedat Onal dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Salim Mustafa Kamal.


(Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan 
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Ainah Maimunah Iskandariah di Terminal Lapangan Terbang Antarbangsa Istanbul)

Turut mengiringi keberangkatan pulang Seri Paduka Berdua ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan delegasi Malaysia.

Lawatan Negara Al-Sultan Abdullah bermula Isnin lalu antara lain bertujuan meningkatkan hubungan dua hala yang telah terjalin hampir enam dekad.

Jadual Baginda bermula di Ankara dengan Sambutan Negara dan pertemuan dengan mata bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks
Presiden.

Presiden Erdogan juga telah menganugerahkan Al-Sultan Abdullah darjah tertinggi kerajaan Turkiye, Turkish Order of the State.

Sempena Lawatan Negara ke Turkiye juga, Tuanku turut berkenan melawat pemain industri pertahanan utama Turkiye, FNSS Defence System A.S dan syarikat aeroangkasa Turkish Aerospace Industri (TAI).

Program Al-Sultan Abdullah di Turkiye diteruskan ke Istanbul dengan beberapa program utama antaranya berkenan menerima penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Marmara dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa.

Selain mengadakan lawatan ke tempat bersejarah di sekitar Istanbul, Baginda juga turut bertemu 100 orang rakyat Malaysia yang menetap di Istanbul.

Seri Paduka Baginda berdua serta delegasi dijadual berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.30 pagi esok.

Media Baharu