fb fb fb fb fb

Lebih 40 maut akibat kebakaran hutan di Algeria

(Foto AFP)

ALGIERS, 22 Ogos- Angka kematian meningkat kepada 43 orang, berpunca daripada kebakaran hutan sejak beberapa hari di utara Algeria.

Menurut pihak berkuasa Gendarmerie, jumlah tersebut dijangka terus meningkat. Setakat ini, 13 orang telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kebakaran itu.

"Jumlah korban terbaharu kebakaran meningkat kepada 43," daripada 38 yang direkodkan dua hari sebelumnya, kata Gendarmerie menerusi radio wilayah.

Kebakaran telah melanda 14 wilayah, atau majlis pentadbiran, di utara negara itu, dengan kebanyakannya berlaku di wilayah timur laut El Tarf berhampiran sempadan dengan Tunisia.


(Seorang lelaki berjalan di hadapan rumahnya, yang musnah
dalam kebakaran hutan di bandar el-Kala, Algeria/AFP)

Gendarmerie, yang beroperasi di bawah Kementerian Pertahanan, menambah bahawa mereka masih berusaha untuk mengenal pasti mayat mangsa.

Katanya, angka kematian dijangka meningkat, walaupun laporan awal menunjukkan bahawa kebanyakan kebakaran dapat dikawal.

Perkhidmatan Perlindungan Awam berkata kira-kira 31 kebakaran telah dipadamkan di pelbagai lokasi yang terlibat di negara Afrika Utara itu pada Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, lebih 1,000 keluarga telah dipindahkan dari pelbagai daerah sejak beberapa hari lalu, kata Kolonel Boualem Boughlef pertahanan awam pada hari Sabtu.

Kebakaran, berlaku setiap tahun disebabkan perubahan iklim dan memusnahkan ribuan hektar hutan di negara yang kebanyakannya padang pasir.

Tahun lalu, kebakaran telah mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang dan memusnahkan 100,000 hektar hutan dan tanah ladang di kawasan utara negara itu.-AFP

Media Baharu