fb fb fb fb fb

Xi Jinping lawat Vietnam, Malaysia dan Kemboja minggu depan

Foto REUTERS

BEIJING, 11 April- Presiden China, Xi Jinping dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam, Malaysia dan Kemboja pada minggu hadapan.

Menurut Kementerian Luar China pada Jumaat, lawatan itu merupakan kunjungan rasmi luar negara pertama Xi bagi tahun ini.

"Lawatan Xi ke Asia Tenggara dijadual berlangsung dari Isnin hingga Jumaat," menurut kenyataan kementerian berkenaan.

Kunjungan tersebut dilakukan ketika China berdepan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) susulan perang perdagangan yang semakin memuncak, dipacu oleh tindakan Presiden, Donald Trump.

Menurut Beijing, lawatan Xi ke Vietnam adalah atas jemputan Presiden Luong Cuong, selepas kali terakhir beliau melawat negara itu pada Disember 2023.

Vietnam dikenali dengan pendekatan 'diplomasi buluh' dalam usaha mengekalkan hubungan baik dengan China dan AS.

Meskipun berkongsi kebimbangan Washington terhadap ketegasan Beijing di Laut China Selatan, Vietnam turut mempunyai hubungan ekonomi yang rapat dengan China.

Xi dijangka berada di Malaysia dari 15 hingga 17 April, menurut kenyataan kerajaan Malaysia minggu ini.

Beliau seterusnya dijadualkan mengakhiri lawatannya ke Kemboja. – AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM