fb fb fb fb fb

Helikopter tentera Korea Selatan kawal kebakaran hutan DMZ

Foto AFP

SEOUL, 11 April– Tentera Korea Selatan menggerakkan helikopter bagi mengawal kebakaran hutan di Zon Bebas Tentera (DMZ), kawasan penampan yang memisahkan Korea Selatan dan Korea Utara.

Menurut kenyataan tentera Korea Selatan, langkah itu diambil susulan insiden kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah Korea Selatan bulan lalu yang meragut lebih 30 nyawa di wilayah tenggara negara tersebut.

"Punca kebakaran yang tercetus sejak Khamis petang di kawasan Goseong, Wilayah Gangwon, dalam zon DMZ itu masih belum dikenal pasti.

“Dua helikopter pemadam kebakaran milik Perkhidmatan Perhutanan Korea telah dikerahkan untuk memadam kebakaran sejak kira-kira pukul 6.30 pagi ini,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau kecederaan melibatkan anggota atau infrastruktur di pihak Korea Selatan.

"Pihak tentera turut membuat siaran amaran kepada Korea Utara sebelum menghantar helikopter," menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, usaha mengawal kebakaran di kawasan selatan sempadan berjalan lancar.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran apabila kira-kira 10 askar Korea Utara dilaporkan melintasi sempadan DMZ.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM